Thursday 28 April 2016

Surat untuk kau: Aku harus bagaimana?

Assalamualaikum kau,

Siang atau malam, kau pasti aku kenang.

Kau,

Sebelum aku membuncah segala yang terbuku, aku dapat tahu kau sedang lagi bekerja separuh masa menjual buku buku lama. Pasti sukar sekali belajar sambil bekerja kan? Ahh hidup ini selalu menjadikan kita melakukan banyak perkara dalam satu masa. Dan kerana banyaknya perkara itu, pasti kita akan terpaksa berkorban dan aku yakin kau, pengorbanan kau itu amat menyakitkan.

Kau, kerana kita manusialah kita mahu semua perkara, dan kerana kita manusia jugalah, kita tidak akan dapat semua perkara. Mungkin kerana itu kehidupan menghasuti manusia untuk  bersikap tamak dan meminggir segala apa, sesiapa sahaja yang selama ini setia di sisinya. Sikap tamak yang mempengaruhinya itu mengkelabukan pengorbanan insan yang berperah keringat tidak kira waktu. Ahh kau.

Kau, dahulu aku sukar menjadi diriku sendiri. Sering sahaja aku belayar di samudera hipokrasi demi ingin manusia manusia memandang aku seperti biasa biasa. Aku enggan menjadi mereka yang luar biasa. Maka dengan itu aku cuma menurut angin yang menghembus. Jika angin itu dari timur, ke baratlah aku. Jika angin itu dari utara, maka ke selatanlah.

Kau, pastinya sakit sekali berhipokrasi begitu. Jujur aku tidak menipumu. Hipokrasi itulah yang menyebabkan aku sering tergagau gagau mencari jati diri aku sendiri. Hipokrasi itulah yang membuatkan aku sekarang sering termenung dan berpening mencari suatu keputusan hidupku.

Kau, berlalu detik kehidupanku, aku semakin diuji dengan kontemplasi yang samar dengan jawapan yang pasti. Kata orang kontemplasi itu wajar, supaya kita tidak terpelosok ke dalam neraka penyesalan. Kata orang kontemplasi itu mengajar kita senantiasa mengintrospeksi diri kita, segala yang salah kita lakukan dahulu, usah diulanginya.

Tapi kau, semakin aku berkontemplasi, semakin aku meneroboskan diriku ke laluan kabus yang keliru, yang kadangkala menggelincirkan aku ke lembah putus asa dan depresi, dan akhirnya aku pesimis dengan diriku sendiri.  Kau, adakah selama ini tindakanku salah? Adakah aku benar benar berkontemplasi? Ataupun kau, adakah aku yang menutup hati aku sendiri dari mendengar kata hati yang sering tidak menipu? Kau, mengertikah kau?

Aku terfikir, kenapa bila mana aku cuba untuk menyelongkar pelbagai perkara, di saat itu juga aku diuji dengan meminggir sesuatu yang amat penting bagi aku. Aku tak keruan kau. Aku lelah membongkar redah mencari apa sebenarnya yang tidak kena dengan perangai perasaanku. Aku cuba menyelongkar Sokrates, Aristotle, Plato. Aku cuba menyingkapi manhaj Ibn Rusyd yang mengatakan falsafah dan syariah itu tidak bercanggah. Sama sama mencari kebenaran dan kebenaran itu adalah satu.

Tidak cukup itu. melayani kehalobaan yang tidak pernah puas, aku menenggelamkan diriku dengan estetisme sufi yang diimani oleh Jalaluddin Ar rumi, yang mengikut pembacaanku, mempengaruhi pegangannya sejak kemunculan Syamsuddin At Tabrizi. Ah dongeng juga bila aku membaca kisah pertemuan mereka dan apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah yang amat memberi kesan manusia. Sebentar, moga moga hubungan kita tidak sama seperti hubungan Ar Rumi dan At Tabrizi.

At Tabrizi saban lama merasa kosong. Sedari kecil seakan separuh dari hidupnya tidak ada. Sunyi yang lama mendiam membawanya berkelana mencari siapakah yang memiliki separuh dirinya itu. Berpuluhan tahun sehingga umurnya hampir senja dan tersingkaplah riwayat Maulanalah gerangannya. Maka setelah pencarian yang sejak lama mengandung kerinduan itu, terlahirlah perkisahan yang bagi aku menjadi estetisme kesufian sehingga kini.

Ahh aku kontradik dengan diriku, falsafah dan sufi bersaing merebut perhatian aku dan akhirnya aku terpaksa mengorbankan prioriti aku, Aku jadi diriku yang dahulu, yang bukan diriku sendiri. Aku menjadi manusia yang cuba meruntuhkan pekung pekung batasan prinsip aku. Aku umpama kata terpenjara dari diriku sendiri. Aku cuba berdialog dalam monolog, Aku berbicara sesama sendiri, Aku ibarat punya dua diri, dalam diri ada diri, diri luar mendakwa dikawal diri dalam, dan diri dalam memberontak ingin dibebaskan dari diri luar. Ahh kau aku yakin kau semakin pening.

Kau, sering saja aku cuba memutuskan sesuatu perkara tanpa dahulu aku berkontemplasi, dan sering saja aku hanyut dalam kontemplasiku sehingga tidak aku temui apa keputusanku yang pasti. Maka apa sebenarnya yang harus aku lakukan kau?

Sudahlah.

Kau, maafkan andai diksi aku ini bersimpang siur, maafkan lakaran aksara aku ini yang menambah perih dan memenatkan kau yang lagi lelah belajar sambil bekerja. Moga moga dengan kebingungan kata kata aku, tiadalah walau sebuah huruf pun yang menyinggung perasaan hati kau.

Maafkan aku sekali lagi kau, aku jadi lupa nasihatmu bahawa senantiasalah berhati hati dengan kata kata, agar ia bisa menjadi harapan pada manusia manusia! Maafkan aku!


Selamat kau!


dari aku.







Konfrontasi aku!

Aku menjadi dua yang sering berkontradik.

Sekejap aku menjadi konformis yang setia,

Tidak lama aku menjadi oposisi yang menderhaka.

Paradoks!

Aku menentang aku, seorang aku tidak dapat tidak akan kembali menjadi aku.

Segenap cahaya yang mengalahkan, kelam yang ada di penjuru batin yang risau.





" ya tuhan aku ini banduan dalam diriku,
datang lah wahai israfil dan tiupkanlah tubuhku,
agar aku bisa bangun! "

-Rumi