Friday 25 December 2015

Cinta yang tidak kesampaian


" Kenapa Ti, kenapa? "


" Jangan lontarkan lagi soalan Kid, aku sudah penat mencari jawapan. "


" Kau memilih untuk mengalah dalam pecintaan ini, tapi kau menolak untuk mengalah dalam kekusutan pencarian kau, kau egois Ti. Kau langsung tak memikirkan sakitnya hati aku menanggung. "


Orkid menangis semahunya. Terenjut enjut dadanya.


" Maafkan aku Kid, kasih dan sayang aku ternyata tidak mampu menewaskan takdir yang telah tertulis. Aku harus pasrah. Mengertilah Orkid. "


Tangan Setia mahu menyentuh bahu Orkid, pantas ditolak.


" Maafkan aku Kid, keikhlasan sebuah cinta yang aku ingin beri, namun mungkin tak sempurna lagi. "


" Setia, hati perempuan itu umpama kaca, sekali kau hempaskannya, kau tak kan bisa mengembalikannya kepada asal, utuh dan sempurna. "


" Aku faham Kid, aku menyesal. "


" Tapi aku mencintai kau Ti. "


Air mata mengalir lagi.


" Jangan begini Kid, takdir telah memilih bukan aku yang selayaknya untuk kau memberikan cintamu yang tulus. "


" Kau tidak mencintaiku Setia? "


Orkid masih mengharap secebis harapan.


" Sudah aku bilang Kid, usah lontarkan lagi persoalan. "


" Jawab Ti.."


Orkid mendesak.


Lama Setia kaku. Dan Orkid hanya mampu menunduk kecewa. Perih, luka menusuk nusuk jiwa perempuannya. 


" Mungkin aku yang tersalah mencintai Ti, dalam setiap pertemuan kita telah aku taruh begitu tinggi kasih yang ingin aku semi, aku tidak lelah menanam cintaku pada kau. Rupanya aku tersalah, cinta yang gigih ku tanam itu hanya menuai luka dan duka. "


Orkid ingin pergi. Melihat Setia masih setia membisu, menambah geramnya.


" Orkid.."


Seru Setia perlahan, namun dapat didengar Orkid.

Langkahan Orkid terhenti, dia berpaling.


" Aku..."


Orkid mengerutkan matanya, seakan menyalurkan keberanian untuk Setia meneruskan kata.

" Aku mencintai kau bukan untuk kau mencintaiku Kid, aku mencintai kau kerana aku ingin buktikan kewujudanku, jika cinta ini tiada maka aku tidak wujud di dunia ini..."


Setia mengeluh berat. Ahh dia memang egoistik.


Dan Orkid akhirnya pasrah.


" Kalau padaku dua hati, tak akan aku menyesal dengan cinta yang tidak kesampaian. Akan aku katakan pada hatiku itu kau tersalah pilih wahai hati yang terluka. Maka dengan seluruh harapan akan aku pandu hatiku yang satu lagi ke arah hati hati mereka, ya hati hati mereka yang ikhlas dan berani dalam bercinta. "




25/12/2015
2245






Tuesday 24 November 2015

Perindu Nasib Malang

takda yang lebih tabah,
dari jiwa yang sepi,
dalam sejuk mencengkam tubuh,
dalam rintihan yang tiada hujung,
tiada yang mendengar..diam..kelam,

takda yang lebih tabah,
dari suara yang bernyanyi sunyi,
" sesungguhnya aku perindu nasib yang malang. "


Sunday 8 November 2015

Cerpen


‘ Tuhan merawat segala yang kita kenal, dan yang tidak kita kenal, dan juga yang tidak akan pernah bisa kita kenal. ‘
-          Sapardi Djoko Damono.




PENCARIAN




“ Hidup ini tidak dapat tidak harus menyusahkan orang lain, begitulah falsafah penciptaan manusia yang tidak hanya dia seorang di dunia ini. “

“ Aku faham Kal, sebab itu aku di sini dengan kau kan?..”

“ Tidak.. kau tidak mengerti Jingg, kerana aku juga masih belum mengerti.. “

“ Jangan beratkan fikirmu Kal, hidup ini tidak seberat yang kau fikir. “

“ Ah Jingg benar kataku, kau tidak mengerti. “

“ Aku terlebih mengerti Kal, kau keserabutan mencari hikmah yang masih kabur. Sabarlah Kal, hikmah itu pastikan muncul sebagaimana munculnya pelangi selepas hujan. Cuma kau perlu tunggu bila turunnya hujan itu. “

“ Apakah yang berlaku ini tidak seperti turunnya hujan ?.. “

Jeda.

Jingga membisu. Disaat ketekanan menerjah, akal dan nafsu bersaing merebut tempat. Dia berkontemplasi.

“ Jawab Jingga, usah renyahkan aku.. “

Tangan Kalis diraih lembut.

“ Apa yang berlaku cuma redup awan penanda hujan akan turun membasahi Kal. Bersabarlah Kal, kau sedang bertarung dengan falsafah. Falsafah adalah perasaan yang kuat dalam mencari hikmah sesuatu perkara. Walau kau tidak akan bisa menemuinya, kau pasti akan tetap mencari. “

“ Tapi Jingg,sampai bila ? sampai bila aku akan terus terapung dalam samudera hipokrasi terhadap diriku sendiri ? Aku tidak tenang.. “

Kalis mengeluh berat.

“ Sudah aku pesan Kal, usah beratkan fikirmu. Kau cuma perlu menunggu. Menunggu memerlukan waktu Kal, dan waktu itu yang akan menyuluhkan hikmahmu itu nanti. Cuma aku bukanlah pemilik waktu itu. Bersabarlah Kal.. “

“ Jingga, sedarkah kau sudah tiga kali kau mengulang menyuruhku sabar. “ 

Kal jadi tersenyum.

“ Kerana sabar itu selalu berlayar di atas hidup yang gelombang Kal. Pada sabar itu juga ada kemanisan. Buktinya itu di bibirmu. “

“ Ahh Jingga, kau memang nombor satu dalam meredakanku. “

“ Kerana aku mencintaimu Kal. Kau tahu mengapa aku mencintaimu ? Aku mencintaimu kerana aku ingin membuktikan kewujudanku Kal. Jika cinta ini tiada, aku ibarat tidak wujud di dunia ini. “

Kalis bangga.


“ Terima kasih Jingg, namun aku akan terus memberatkan fikirku dalam pencarian hikmah ini. “

Kalis nekad.

“ Teruskanlah Kal jika itu pilihmu. Namun pesan kasihmu ini, usah sehingga apa di fikiranmu itu menjadi kemahuan hidupmu. Ingatlah Kal kemahuan itu tidak terhad, bahkan keperluan hidupmu yang sebenarnya terhad. Kau harus jadi pemilih yang tepat. Kau tidak akan dapat kedua duanya. Kerana kita manusia kita mahu semua perkara dan kerana kita manusialah kita tidak akan dapat semua   perkara Kal. “

“ Jingga, tidakkah Reneh Descartes berkata “ Aku berfikir maka aku wujud. “ Tidakkah kau seolah menolak  kerelevenan berfikir. “

“ Tidak aku nafikan kata kata itu Kal, malah aku sependapat denganmu. Manusia dikarunia akal yang boleh berfikir, yang boleh mengkritik dan mesti bertanggungjawab atas apa yang dikritiknya dengan hujjah.

“  Lihat kau sendiri menerangkan pemahaman falsafah eksistensialisme. Kau sendiri kontradik dengan nasihatmu sebentar tadi wahai kekasih. “

Kalis tahu kali ini Jingga tewas.

“ Tidak.. aku tidak kontradik Kal. Aku terlebih sedar, kehidupan ini penuh dengan persoalan yang mesti kita bongkar redah demi mencari sebuah atau berbuah buah jawapan.

Jingga mengambil nafas panjang sebelum menyambung,

“ Kerana jalan yang benar itu amatlah sukar. Aku risau dalam pencarian fikirmu nanti kau akan hilang separuh dirimu, kau akan hilang semangat wajamu, kau akan hilang senyuman manismu.. “

Tangan Jingga meraba lembut pipi Kalis.

“ Dan yang paling aku takut Kal, kau akan hilang harapan. Tahukah kau dosa manusia paling besar bukanlah membunuh jasad atau fizikal, tapi membunuh harapan. “

Air mata Jingga mengalir akhirnya. Kal menatap simpati. Melihat Jingga berkeadaan sebegitu malah menambah sembilu di sukma.


“ Sudahlah Jingga, usah menangis, kau menangis malah hampir membunuh harapanku. Cinta kita kan bukti kewujudan kita. Aku tidak mahu cinta kita duka dan sakit. Aku masih mahu hidup. Malah sekarang aku yakin hikmah itu akan ditemui oleh manusia yang berjaya memaknai kewujudannya di dunia ini.

Jingga malah teresak esak, bertambah kuat sehingga memaksa Kalis membawanya dalam pelukan erat.

“ Aku bahagia Kal, bahagia yang luas yang melangkau dimensi emosi. Aku berdoa Kal, kau akan temui bahagiamu nanti dalam perjalanan mencari hikmahmu itu. “



Tamat.















PENCARIAN

Dan dalam jiwa sesak
Dalam tubuh tenat
Tunjaman kata semangat
Tidak terubat

Dan hati yang retak
Bergilir hentaman kuat
Tiada daya yang ampuh
Tiada asa yang teguh

Aku ini yang hidup
Yang nyawa masih setia
Walau tubuh menunggu masa
Aku ini yang lemah
Yang longlai di samudera fana

Aku
Masih berjalan
Masih tak bertemu jalan
Masih buntu
Masih keliru

Jalan itu
Terbentang ke hadapan
Yang belakang tinggal kelam
Ke depan kan ku pijak duri
Jika ku undur mana ku harus pergi?

Falsafah kehidupan
Ku cuba bongkar gali
Mencari terus mengkaji
Biar tak jumpa hujung
Asal pangkal ku betul

Ahh..

Kata manusia sesat di hujung jalan
Kembali ke pangkal jalan
Kata penyedap kata,
Biar tak sampai destinasi
Asal mati atas jalan yang pasti

Dan aku..
" Menjunjung takdir, dalam pencarian yang tak berakhir.."

Insan pencari,

0904

06 / 10 / 2015 

Thursday 23 July 2015

Mencari Laila

Bismillah

Aku ingin bercerita, dalam ruangan waktu yang kosong, walau hati sekarang sudah penuh dengan satu rasa, rindu. ( Penuh dengan satu itu dah kontradik ) haha.

Lailatul Qadr, melayunya kita sebut malam Al Qadr, malam yang mana lebih baik dari seribu bulan. Apakah hikmahnya, aku tak mampu sebut apa qaul qaul ulama', cuma yang bisa aku peroleh dari kontemplasiku, ia adalah rahmat tuhan kepada hamba hambaNya supaya bersungguhan bertaubat dan menggandakan pahala agar memperolehi ganjaran syurgaNya. Bayangkan hanya sepuluh malam sahaja yang dipertaruhkan. Pemurahnya tuhan, hanya sepuluh malam sahaja untuk direbut yang mana satu daripada malam itu bisa kita kalung anugerah malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Penyusunan cerita aku akan bahagikan bab bab. Aku harap citraku ini walau tidak berpeluang seribu nyawa yang membaca, sekurangnya aku sudah patrikan segalanya.


SEBELUM BERMULA

Aku hantar abang Azim ke airport, dia dah nak balik. Berkeringat aku mengheret begnya yang beroda satu. Bila dilontar cadangan beli yang baru, dia kata sayang, beg tu dah lejen 6 tahun. Aku tak faham sapa yang nak mengkiktiraf kelejenan beg itu yang nak heret pon susah. Manusia, memang sukar jiwanya, ada barang yang lama dibuangnya tidak berperasaan, ada yang disimpannya bahkan di jaga penuh perasaan.

Tengah hari kami berjabat tangan berpeluk pisah.



BERMULA (  MISI MENCARI LAILATUL QADR )

Berkobar semangat, bak kata kata masyhur abang Azim semangat kuda kepang, semangat empat puluh empat semua ada. Kami berempat menaiki bas dari Bradaa Mohamedia terus ke Masjid Hasan Thani Casablanca. Impian yang dibajaki lama dah, dari 20 ramazan lagi, aku nak bersolat dan beriktikaf di masjid ini.

Dalam bas yang tidak berloceng, bila ada yang mahu turun berdegang degung, ketuklah mana pon, asalkan berbunyi. dah namanya arab, begitulah.

Dalam berapa minit tidakku berminat nak hitung, kami pon tiba di hadapan landasan kereta api Casa Port. Berteman semangat kuda kepang apa semua tadi kami pon berlangkah kaki ke masjid, langkahan bagai tidak berpuasa, tidak luntur semangat waja walau peluhku dah berapa kali ku perah.

Sebelum aku mula bercerita dibab seterusnya, saja nak bagitahu, dekat Morocco ni banyak anjing. Antara tips tak nak dikejar anjing adalah bila jumpa anjing jangan lari buat steady. Aku pernah didatangi tiga ekor anjing bulldog. Sayang sekali berlarian mereka bertiga menuju ke arah orang yang steady dan hebat macam aku. Dengan ketenangan puncak satria, akhirnya mereka bertiga beredar malu.



TIBA DI MASID HASSAN SANI

Kami berhenti di sebuah kedai runcit, beli apa yang patut untuk berbuka nanti. Berarak kami ke arah masjid dengan penuh perasaan, bertujuan kalaulah malam ini adalah malam Al Qadr, di dalam masjid yang gah pula, oh alangkah kemenangan itu milik kami.

Langkahan kami terhenti di tempat kebiasaannya jemaah masuk, berpagar di depan menandakan kami tidak diberi keizinan,  disuruh kami berpusing dan masuk melalui pintu depan tempat pesta buku berlangsung setiap tahun itu, yang sudah dua tahun tidak lagi aku berpeluang merasainya.

Kami tika itu tidak kenal erti berputus asa, asa kami masih utuh dan teguh. Kami mengorak langkah lagi. Keletihan yang menjengah, keringat yang berterusan diperah, tidak bisa mematikan langkah. Namun lama kelamaan hampir empat puluh minit berjalan, sudah mula bermungut di mulut celupar kami. Biasalah manusia, sabar itu harus dimulai dengan marah.

Namun Hafiy mencelah, mencabar dan menyalakan kembali semangat kami " tak mencabar lagi ni misi kita untuk mencari Lailatul Qadr, belum lagi mencabar ! "

Kami dapat masuk. Ramai sebenarnya yang tidak dapat masuk di dalam masjid bahkan kawasan sekitarnya, semuanya hanya menunggu di kawasan maktabah ( kawasan pesta buku ) sahaja. Ada sebilangan yang menunggu di tengah jalan raya, menunggu hadirnya payung rakyat, sang sultan.

Menunggu penuh sabar, macam sudah ku bilang, sabar selepas marah, kami berhamparan bersembang tidak bermotif. Di ketika ini aku berpoyo, membangkitkan satu persoalan, kononnya ingin memecahkan kesunyian yang sebenarnya bukan sunyi pon, tapi masing masing penat.

Sebelum aku mulakan soalan, aku menceritakan sebanyak sedikit mengenai alam ghaib, manfaat yang aku peroleh dari buku Syeikh Farid Al Ansari. Allah menciptakan di bumi ini dengan dua alam, alam ghaib ( alam yang tidak bisa dilihat mata manusia ) dan alam syahadah (alam yang manusia bisa menatapnya ).

Soalan aku berbunyi, bagaimana para malaikat sudah mengetahui bahawa makhluk yang ingin dicipta tuhan bakal membawa kerosakan dan pertumpahan darah di muka bumi ? Adakah sudah ada makhluk sebelum manusia sebelum toknda Adam ?

Berkait rapat dengan ayat Al Quran sesungguhnya Allah menciptakan insan itu dengan sebaik baik kejadian, adakah sebelum ini Allah sudah pun menciptakan makhluk, tapi tidak sebaik baik   manusia. ?  Bertitik tolak dari persoalan itu, menerobos lebih fundamental, adakah sebelum Adam itu sudah ada makhluk ( selain iblis, malaikat dan jin ). Lebih menyeramkan, adakah sudah terjadinya kiamat sebelum zaman kita sekarang. ? Seram bukan. Tapi yang paling menyeramkan, soalan itu hanya berakhir dengan anggukan yang lain, tanpa jawapan dan respon balas dari mereka. Ini bukan seram tapi sedih sebenarnya.

Pecahan sunyi sudah berkecai, masing masing berbual, berjenaka habis segala topik diadunnya. Sehinggalah mampir dua jejaka, abang Pejal dan Jawwad. Segak berjubah dan paling penting, pada mereka kasyir goreng, nugget goreng, dan sirap malaysia.


TAKBIR MAGHRIB

Kami berbuka, masjid masih lagi tidak dibenarkan untuk dijijak. Segelintir yang menunggu di tengah jalan pon berpindah ke tepi bangunan maktabah untuk berbuka.Sang payung rakyat masih belum tiba.

Kami solat maghrib di atas rumput, bila ingin ditunaikan di dalam masjid masih belum diizin, rumputlah tempat kami berjemaah. Pergaduhan mulut antara jemaah dengan pihak polis sudah menjadi adat tika itu. Tiada apa yang boleh dibuat, tak boleh masuk maka tak bolehlah.


LAILATUL QADR DI HASSAN THANI ?

Keghairahan aku masih meluap, andaikata malam itu adalah malam Al Qadr, alangkah beruntungnya aku, di hamparan masjid yang gah, dapat ku beriktikaf, beramal ibadah.

Berpusu jemaah mula naik melalui tepi masjid, kami berpandang sesama sendiri. Mungkin sudah dibenarkan atau mungkin sang payung rakyat sudah mencemar duli.

Kami naik ke atas, aku melihat seorang jemaah lelaki, berserban dan berjambang lebat ditahan begnya, dicek penuh teliti satu persatu. kemudian lepas. Peliknya kami langsung tidak diperiksa.

Halaman masjid sungguh luas dan lapang. Kelihatan jemaah berduyun duyun masuk ke dalam masjid dalam satu barisan yang lurus. Semuanya berjubah putih. Musykil, rupanya hanya dalam barisan itu yang dibenarkan masuk, kami yang naik melalui tangga sebelah tepi tadi diarahnya keluar balik melalui pintu utama.

Siapa yang mengarahkan itu ? Mereka adalah sb sb ( mata mata polis ). Bak kata abang Pejal, mahu kenal sb sb ni mereka akan pakai baju kemeja dan berbadan sasa atau sedikit sasa. Jelaslah hampa bagi sebilangan jemaah yang tadi naik bersama kami, terpaksa keluar kembali. Ada yang pasrah ada yang tidak mahu mengalah, mula bercakaran mulut dengan sb sb itu.

Adegan yang aku geram, bila seorang jemaah tua marah, kenapa kami tak boleh masuk ? Ini rumah Allah semua boleh masuk mengapa perlu diperiksa bagai. Lantas diherdik dan dimarahi oleh sb sb itu, katanya kalau tak puas hati pergi balik solat kat tempat lain. Kami perhati ja.



MENCARI LAILA, MENJUMPAI SI DIA

Kami bingung, tidak jumpa arah jalan keluar. Bayangkan tiga lapisan pemeriksaan, kata mereka macam menunggu giliran mengerjakan sa'ie di Mekah. Ramai yang amat.

Kami mengikut arah pak cik ( taliban ) yang dicek begnya tadi. Keluar melalui celahan jemaah perempuan. Suasana ketika itu gegak gempita, jemaah perempuan berzikir dan bertakbir penuh semangat tanda protes.

Kami berjaya melepasi halangan, abang Pejal menawarkan untuk menghantarkan kami pulang ke Mohamedia. Aku termangu seketika, adakah misi mencari Lailatul Qadr di Hasan Thani habis macam tu saja ? Adakah aku sudah gagal meraih Lailatul Qadr?

Aku insaf, aku sedar, miskinnya tuhan kalau hanya di Hasan Thani sahaja di anugerahinya malam Al Qadr. Lailatul Qadr itu bukan di Hasan Thani sahaja. Aku apologetik.

Kami melangkah keluar kecuali Hafizi dan Muhaimin, yang masih berwaja semangat menanti segala yang bakal terjadi, demi menyelesaikan misi mencari Lailatu Qadr di Hasan Thani. Benar aku ada tersisip rasa terkilan kerana tidak turut setia dia sana. Sedikit.

Sebelum itu apabila kami berhasil melepasi celahan jemaah wanita tadi, mataku tertatap wajahnya yang anggun.


MISI MENCARI LAILATUL QADR DITERUSKAN

Dalam kereta, kantuk mula menjengah, keletihan berjalan dari pagian mula bertindak ganas. Aku menyandar kepala. Selamat tinggal Masjid Hasan Thani, selamat tinggal laila.

Dalam secubit kecewa, aku tersentak, bila abang Pejal bersuara, tengok pak cik dan mak cik tu, tak kalut pon nak pergi Masjid Hasan Thani, tak payah nak kena periksa, tak payah beratur panjang, tak payah nak letak kereta satu kilometer dari masjid.

Aku jenis tak suka menerima kata kata seseorang itu secara literal, malah otakku akan cuba mencari konotasi dari kata kata seseorang. Itu aku.

Maksudnya, malam Al Qadr itu bukan hanya di Masjid Hassan Thaani, bukan hanya di masjid ini, bukan hanya di masjid itu. Tiada tempat yang dipilih dan dikhususkan. Malam Al Qadr itu anugerah dari tuhan buat hamba hambanya di mana sahaja selagi bernyawa. Di dalam masjid, di dalam rumah, di tempat pengumpulan dosa, di tempat penambah baikan jiwa, di bawah jambatan buat pengemis jalanan. Di mana sahaja !

Membuatkan aku tersentap dan sekali lagi mula menabur harap, moga moga kan ku ketemu Lailatul Qadr.


BERTARAWIH

Kami berhenti di satu masjid besar di Ain Sebaa. Masjid yang besar dan tampaknya baru lagi. Jemaah yang ramai yang tidak menjadi kepelikan di Morocco. Aku penat. Solat aku bermandi peluh. Baju aku berbau semacam. Mendengar bacaan imam yang diulang ulangnya bukan menambah asyik, bahkan tertunggu tunggu bila nak dirukuknya.

Habis solat, abang Pejal akan hantar aku, Hafiy dan Hanis pulang ke Bradaa Mohamedia. Ternyata jalan untuk pulang bukan mudah, berlekok lekok kami mencarinya, sesekali bantuan orang di jalanan menjadi penunjuk arah. Seingat aku jalan yang kami tempuh antaranya Jalan Azhar dan Jalan Syalalah.

Aku berpaling ke arah Hafiy di sebelah, " misi kita ni memang betul betul mencabar ! " sambil mengangkat sebelah kening.

Aku dan Hanis kepala kami dah terlentok, lama juga akhirnya sampai. Peliknya sesampainya di rumah bukan disambungnya tidur, bahkan pelahap nasi dulu. Entah siapa pulak buat daging goreng hai sedap sungguh.



BERLALUNYA MALAM 27

Maka berakhirnya malam 27, malam yang dirai pelusuk rakyat Maghribi. Disambut mereka umpama di hari raya. Ramai ramai di jalanan, bersuka ria, memakai pakaian yang baru dan indah, yang wanitanya memakai inai di jari jari mereka dan anak anak perempuan mereka. Bergambar sebagai kenangan. Kami berseloka, jangan esok hari merek tak puasa sudah.



PENUTUP CITRA ( MASIH MENGHARAP )

Malam 28, aku dan Hafiy solat tarawih di masjid di Aswak Salam. Malam itu kami terasa satu keajaiban. Ketika solat, hujan rintik sebentar cuma, bahkan aku cuma terasa sekali saja dititis air, ingatkan tahi burung yang jatuh, diraba raba dan di bawa ke hidung tiada bau. Hafiy dua kali.

Dan aku berkontemplasi, aku insan pengharap yang masih setia mengharap rahmat tuhan, masih berdoa berpeluang menemui Lailatul Al Qadr.

Walau sudah di hujung, namun rahmat dan maghfirah tuhan sekali kali tiada penghujungnya. !


اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا

" Ya tuhan, engkau maha pengampun, engkau suka mengampun, maka ampunkanlah dosa dosa kami "







Saturday 10 January 2015

Bermimpi

Saat aku bersendirian di jalanan, memandang ke langit memang kegemaranku. Terasa tenang dan damai. Aku seakan lupa akan naratif naratif dukaku. Ya...sungguh tika itu aku bebas dalam khayalanku!

Malam sepi..waktu pulang dari Kelas Syeikh Said Al Kamali ,aku berjalan ke stesen keretapi. Sambil berjalan, aku mendongak ke langit yg tidak lagi berlazuardi. Kelam sahaja.

Waktu itu, puisi ini ku cipta..


Aku yang bermimpi..
Aku terbang..
Jauh..tinggi..


Meninggalkan segala,
Luka yang dalam,
Parut yang kekal,
Renyah yang membeban,


Aku yang masih terbang..
Tinggi..makin jauh..


Mengikis sisa duka,
Membawa tubuh yang kcewa,
Rengkuhan sakit ku tanggung,
Aku lepaskan,


Aku masih bermimpi..
Ya..masih terbang..


Yang damai dalam sepi,
Berteman angin yang mendakap,
Jasad yang terbang,
Di langit kelam,
Aku bernyanyi sunyi.




Jumaat
2115
9/1/15