Saturday 22 September 2018

Gadis berbaju pink

Mengapa bersedih?

Tidakkah engkau tahu di setiap kata harapan, punya kesakitan untuk menghadamnya. Inginkah kau aku bilang, penawar yang mujarab itu, perlukan pahit untuk mengubatinya

Di selang seli hari hari yang menikam nikam sembilu hatimu, percayalah di sana ada bertukar tukar jiwa yang mendoakan kebahagiaan dirimu. Kau cuma harus berani memandang mereka dengan senyuman manismu sahaja.

Aku juga seperti dirimu sekarang, ingin sahaja cuma duduk di kedai kopi, mencicip kopi susu kesukaanku, memikirkan kebuntuan yang telah lama mendiam di benar fikiranku, ingin merendam air mata di setiap aksara aksara untuk aku memujuk sayu atma sepiku.

Aku cuba mengerti perasaanmu, menerobos relung hatimu. Mungkin sama sama bisa kita mencari jalan keluar dari masalah kita ini. Maka aku harap kau sudi memberiku peluang, kita berenang sama sama di samudera kelukaan ini, agar sama sama kita tenggelam dan mana tahu, jika bernasib baik, kita terdampar di pulau kesembuhan.

Kau, mencuba sesuatu yang baharu itu bukan senang bukan. Tambah tambah bila kita di keadaan yang belum bersedia untuk mencubanya. Ataupun kita terpaksa mencubanya dek kematangan yang memaksa kita berkontemplasi dan akhirnya akal dan jasad kita memutuskan untuk mencubanya.

Kau, dahulunya aku sering berjaga jaga, tidak berani mencuba, makanya aku lewat untuk menjadi dewasa. Dahulunya aku sering berharap dan mengharap kepada manusia manusia di sekelilingku. Maka bila tiba waktu di mana mereka semua pergi meninggalkanku sendiri, aku kaku terpaku, tersentap tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

Kalaulah dahulu aku cepat menjadi dewasa. Maka aku pasti lebih baik dari sekarang. Entahlah, adakah sudah terlewat atau masih punya waktu, cuma aku yang tidak tahu.

Kau, sebelum kita berpisah..

Senyumlah wahai kau, ukirkan lesung pipit di pipi putihmu, bundarkan redup matamu dengan cahaya harapan, moga moga hari yang mendatang menjadi indah, seindah wajahmu.

Wahai gadis berbaju pink,

Terima kasih atas sebuah pertemuan yang bukan sahaja menjadi terapi mataku, tetapi jiwaku. Moga nanti sama sama kita sedari, bahawa kesempatan itu pasti ada, yang kita cuma butuh hanyalah waktu.



*gadis berbaju pink di la gare Kenitra. Menunggu keretapi untuk ke Fes.

Thursday 20 September 2018

Menyelongkar di dalam kelam

- Dalam mencari diri, aku terjumpa sesuatu yang aku harap, aku tidak seperti itu. Maka waku itu aku terjumpa kata kata ini; ' kau punya dua peluang, menjadi sesuatu yang dibanggakan manusia, tidak diri kau, atau menjadi sesuatu yang membahagiakan manusia juga diri kau sendiri..'


Kehidupan menemukan aku dengan sesuatu yang amat menakutkan, menyeramkan namun ianya tidak mampu menggagagalkan keinginan aku untuk menghadapinya. Walau aku mencuba sedaya upaya mengelaknya, aku tetap berdepan dengannya.

Kembali kepada diri mengajari aku menjadi pembuat keputusan sesuatu perkara. Aku sudah tidak boleh mengikut ikut seperti selalu. Menjadi lembu yang redha menurut perintah tuannya, bila waktunya harus tidur, bila masanya harus makan, bila ketikanya harus menyusu. Malah aku lupa aku bukan binatang, aku manusia.

Temanku pernah bertanya, benar menjadi eksistensialis itu harus, kerana kita itu manusia. Kata Descartes,  aku berfikir maka aku wujud. Memang benarlah kita kan selalu berfikir! Namun esensi dengan eksitensi, mana yang dahulu?

Aku terlebih yakin soalnya itu sengaja mahu menguji apa peganganku. Benar aku masih lagi merangkak rangkak mencari jejak dalam mengisbatkan tapakku di dunia yang mengelirukan ini. Aku masih terkapai kapai dalam samudera kekeliruan yang menyukarkan aku mencari di mana dermaga untuk aku labuhkan segala yang menyusutkanku.

Kembali kepada esensi dan eksistensi, aku boleh cernakan keduanya kepada erti hidup ( tujuan ) dan kewujudan. Ya benar, erti hidup itu tidak akan dapat diketahui intinya sekiranya kita tidak punya tujuan dan  tujuan itu tidak akan dapat dituju sekiranya kewujudannya tiada, mustahil. Sama juga walau ianya wujud, namun tiada arah tujunya, ia akan menjadi hilang pedoman, tiada pegangan, musnah harapan.

Makhluk yang bernama manusia itu sifatnya mahu mencari. Walau ia tidak mengetahui apa yang dia cari sebenarnya. Atau mungkin dia sudah tahu, namun dia cuba mecari justifikasi untuk dia mengelak kerana jiwanya tidak muyul (cenderung)  ke arah itu. Dia mungkin sudah sedar, benda itu sudah di depan kedua matanya (ada yang empat matanya), namun seupaya dia menyelimutinya dengan alasan alasan, filosofi filosofi rekaanya, untuk hati kecilnya paling tidak menuruti juga perasaan kelirunya, agar sama sama tenggelam, mati tiada tujuan.

Benar esensi dan eksistensi itu bersifat vertikal, kita tidak boleh menafikan salah satu, atau membenarkan cuma satu dari keduanya. Manusia itu wujud, kerana ia mampu berkontemplasi, ia juga membuktikan manusia itu punya akal, tidak seperti haiwan. Juga manusia itu punya tujuan hidupnya, walau dia tidak punya agama sekalipun, dia tetap ada tujuan dan matlamat yang ingin dicapainya. Fundamentalnya, setiap manusia itu sedar akan kewujudannya, dan sedar akan erti hidupnya.

Waktu ini aku teringat kata Heidegger, setiap manusia itu punya dua kewujudan, majazi dan hakiki. Adapun yang majazi seperti aku yang sudah dua puluh tahun lebih hidup seperti tertera di kad pengenalanku. Kewujudan yang hidup di dalam dua masyarakat, Malaysia dan Maghribi.

Kewujudan yang hakiki itu adalah yang mampu mencapai tamadun, yang hebat mencipta inovasi inovasi yang produktif, yang hidup bukan sekadar hidup, namun hidupnya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat sekelilingnya.

Bertuah sungguh bagi mereka yang yang mempunyai kedua dua kewujudan ini. Kerana waktu ini mereka telah memacakkan percu bahawa mereka bukan sahaja insan, tetapi insaniyyah (kemanusiaan). Kemanusiaan yang mana dimaksudkan Franz Fanon sebagai masyarakat yang mempunyai segala kebaharuan di dalam diri, jasad, zat serta akal fikir yang mampu mencipta segala sesuatu yang produktif bukan sahaja untuk dirinya juga masyarakatnya.

Maka membaca Ali S menyukarkan lagi penyelongkaran ini. Aku menjupa samar ketika mencari diri aku. Atau lebih tepat, lebih jauh aku menyelongkar, lebih jauh untuk aku menjumpai diri aku yang sebenarnya.

Jeda.

Tiada apa yang bisa diselongkar sekiranya aku di kosmos kelam, menggelapkan harapan dan impian.

Aku mencuba mengikuti ruang dan waktu, menerobos batu bata kehidupanku walau aku sendiri menjustifikasi hipokrasi diri membenarkan segala penipuan. Walau ada ketika aku sendiri yang mensia siakan peluang yang hadir bukan sahaja di depan mata, malah di depan jasad diri aku sendiri.

Aku cuba mencari suluhan an nur, untuk kembali kepada diri aku sendiri, kembali kepada zat manusia, manusia yang sebenar benar manusia. Aku cuba memperhalusi gerak geri akal, yang bukan sahaja pintar melontarkan persoalan persoalan, malah bijak mencari jawapannya. Jawapan yang benar benar menjawab kekeliruan.

Aku mengetahui, sekiranya aku mampu membuktikan kewujudanku dan berjaya mengetahui (idrak) erti dan tujuan hidupku sendiri, aku mampu menyerahkan segala kekusutan ini kepada ontologi aku (keimanan).

Aku sedar, kontemplasi itu adalah jalan yang terbaik, aku cuma harus sabar dan terus bersabar, walau sudah beberapa jiwa yang sakit kerana kontemplasiku ini. Sekirnya aku mengimani bahawa pencarian ini adalah sesuatu proses ibtila'(ujian) dari tuhan, aku masih punya peluang walau seperca untuk gembira. Juga menggembirakan orang lain.


Kata Salman Al Audah hidup sekiranya tidak ada tujuan walau seperca, seperti hidup di dalam penjara yang besar. Aku tidak pasti, aku sekarang di dalam penjara dan di dalam perjalanan mencari jalan keluar (tujuan hidup), atau aku masih lagi dalam usaha untuk membuktikan kewujudanku. Apa yang aku pasti, dari eksistensi dan esensi, aku sudah temui salah satu dari keduanya.


Tamat.