Saturday 22 September 2018

Gadis berbaju pink

Mengapa bersedih?

Tidakkah engkau tahu di setiap kata harapan, punya kesakitan untuk menghadamnya. Inginkah kau aku bilang, penawar yang mujarab itu, perlukan pahit untuk mengubatinya

Di selang seli hari hari yang menikam nikam sembilu hatimu, percayalah di sana ada bertukar tukar jiwa yang mendoakan kebahagiaan dirimu. Kau cuma harus berani memandang mereka dengan senyuman manismu sahaja.

Aku juga seperti dirimu sekarang, ingin sahaja cuma duduk di kedai kopi, mencicip kopi susu kesukaanku, memikirkan kebuntuan yang telah lama mendiam di benar fikiranku, ingin merendam air mata di setiap aksara aksara untuk aku memujuk sayu atma sepiku.

Aku cuba mengerti perasaanmu, menerobos relung hatimu. Mungkin sama sama bisa kita mencari jalan keluar dari masalah kita ini. Maka aku harap kau sudi memberiku peluang, kita berenang sama sama di samudera kelukaan ini, agar sama sama kita tenggelam dan mana tahu, jika bernasib baik, kita terdampar di pulau kesembuhan.

Kau, mencuba sesuatu yang baharu itu bukan senang bukan. Tambah tambah bila kita di keadaan yang belum bersedia untuk mencubanya. Ataupun kita terpaksa mencubanya dek kematangan yang memaksa kita berkontemplasi dan akhirnya akal dan jasad kita memutuskan untuk mencubanya.

Kau, dahulunya aku sering berjaga jaga, tidak berani mencuba, makanya aku lewat untuk menjadi dewasa. Dahulunya aku sering berharap dan mengharap kepada manusia manusia di sekelilingku. Maka bila tiba waktu di mana mereka semua pergi meninggalkanku sendiri, aku kaku terpaku, tersentap tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

Kalaulah dahulu aku cepat menjadi dewasa. Maka aku pasti lebih baik dari sekarang. Entahlah, adakah sudah terlewat atau masih punya waktu, cuma aku yang tidak tahu.

Kau, sebelum kita berpisah..

Senyumlah wahai kau, ukirkan lesung pipit di pipi putihmu, bundarkan redup matamu dengan cahaya harapan, moga moga hari yang mendatang menjadi indah, seindah wajahmu.

Wahai gadis berbaju pink,

Terima kasih atas sebuah pertemuan yang bukan sahaja menjadi terapi mataku, tetapi jiwaku. Moga nanti sama sama kita sedari, bahawa kesempatan itu pasti ada, yang kita cuma butuh hanyalah waktu.



*gadis berbaju pink di la gare Kenitra. Menunggu keretapi untuk ke Fes.

Thursday 20 September 2018

Menyelongkar di dalam kelam

- Dalam mencari diri, aku terjumpa sesuatu yang aku harap, aku tidak seperti itu. Maka waku itu aku terjumpa kata kata ini; ' kau punya dua peluang, menjadi sesuatu yang dibanggakan manusia, tidak diri kau, atau menjadi sesuatu yang membahagiakan manusia juga diri kau sendiri..'


Kehidupan menemukan aku dengan sesuatu yang amat menakutkan, menyeramkan namun ianya tidak mampu menggagagalkan keinginan aku untuk menghadapinya. Walau aku mencuba sedaya upaya mengelaknya, aku tetap berdepan dengannya.

Kembali kepada diri mengajari aku menjadi pembuat keputusan sesuatu perkara. Aku sudah tidak boleh mengikut ikut seperti selalu. Menjadi lembu yang redha menurut perintah tuannya, bila waktunya harus tidur, bila masanya harus makan, bila ketikanya harus menyusu. Malah aku lupa aku bukan binatang, aku manusia.

Temanku pernah bertanya, benar menjadi eksistensialis itu harus, kerana kita itu manusia. Kata Descartes,  aku berfikir maka aku wujud. Memang benarlah kita kan selalu berfikir! Namun esensi dengan eksitensi, mana yang dahulu?

Aku terlebih yakin soalnya itu sengaja mahu menguji apa peganganku. Benar aku masih lagi merangkak rangkak mencari jejak dalam mengisbatkan tapakku di dunia yang mengelirukan ini. Aku masih terkapai kapai dalam samudera kekeliruan yang menyukarkan aku mencari di mana dermaga untuk aku labuhkan segala yang menyusutkanku.

Kembali kepada esensi dan eksistensi, aku boleh cernakan keduanya kepada erti hidup ( tujuan ) dan kewujudan. Ya benar, erti hidup itu tidak akan dapat diketahui intinya sekiranya kita tidak punya tujuan dan  tujuan itu tidak akan dapat dituju sekiranya kewujudannya tiada, mustahil. Sama juga walau ianya wujud, namun tiada arah tujunya, ia akan menjadi hilang pedoman, tiada pegangan, musnah harapan.

Makhluk yang bernama manusia itu sifatnya mahu mencari. Walau ia tidak mengetahui apa yang dia cari sebenarnya. Atau mungkin dia sudah tahu, namun dia cuba mecari justifikasi untuk dia mengelak kerana jiwanya tidak muyul (cenderung)  ke arah itu. Dia mungkin sudah sedar, benda itu sudah di depan kedua matanya (ada yang empat matanya), namun seupaya dia menyelimutinya dengan alasan alasan, filosofi filosofi rekaanya, untuk hati kecilnya paling tidak menuruti juga perasaan kelirunya, agar sama sama tenggelam, mati tiada tujuan.

Benar esensi dan eksistensi itu bersifat vertikal, kita tidak boleh menafikan salah satu, atau membenarkan cuma satu dari keduanya. Manusia itu wujud, kerana ia mampu berkontemplasi, ia juga membuktikan manusia itu punya akal, tidak seperti haiwan. Juga manusia itu punya tujuan hidupnya, walau dia tidak punya agama sekalipun, dia tetap ada tujuan dan matlamat yang ingin dicapainya. Fundamentalnya, setiap manusia itu sedar akan kewujudannya, dan sedar akan erti hidupnya.

Waktu ini aku teringat kata Heidegger, setiap manusia itu punya dua kewujudan, majazi dan hakiki. Adapun yang majazi seperti aku yang sudah dua puluh tahun lebih hidup seperti tertera di kad pengenalanku. Kewujudan yang hidup di dalam dua masyarakat, Malaysia dan Maghribi.

Kewujudan yang hakiki itu adalah yang mampu mencapai tamadun, yang hebat mencipta inovasi inovasi yang produktif, yang hidup bukan sekadar hidup, namun hidupnya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat sekelilingnya.

Bertuah sungguh bagi mereka yang yang mempunyai kedua dua kewujudan ini. Kerana waktu ini mereka telah memacakkan percu bahawa mereka bukan sahaja insan, tetapi insaniyyah (kemanusiaan). Kemanusiaan yang mana dimaksudkan Franz Fanon sebagai masyarakat yang mempunyai segala kebaharuan di dalam diri, jasad, zat serta akal fikir yang mampu mencipta segala sesuatu yang produktif bukan sahaja untuk dirinya juga masyarakatnya.

Maka membaca Ali S menyukarkan lagi penyelongkaran ini. Aku menjupa samar ketika mencari diri aku. Atau lebih tepat, lebih jauh aku menyelongkar, lebih jauh untuk aku menjumpai diri aku yang sebenarnya.

Jeda.

Tiada apa yang bisa diselongkar sekiranya aku di kosmos kelam, menggelapkan harapan dan impian.

Aku mencuba mengikuti ruang dan waktu, menerobos batu bata kehidupanku walau aku sendiri menjustifikasi hipokrasi diri membenarkan segala penipuan. Walau ada ketika aku sendiri yang mensia siakan peluang yang hadir bukan sahaja di depan mata, malah di depan jasad diri aku sendiri.

Aku cuba mencari suluhan an nur, untuk kembali kepada diri aku sendiri, kembali kepada zat manusia, manusia yang sebenar benar manusia. Aku cuba memperhalusi gerak geri akal, yang bukan sahaja pintar melontarkan persoalan persoalan, malah bijak mencari jawapannya. Jawapan yang benar benar menjawab kekeliruan.

Aku mengetahui, sekiranya aku mampu membuktikan kewujudanku dan berjaya mengetahui (idrak) erti dan tujuan hidupku sendiri, aku mampu menyerahkan segala kekusutan ini kepada ontologi aku (keimanan).

Aku sedar, kontemplasi itu adalah jalan yang terbaik, aku cuma harus sabar dan terus bersabar, walau sudah beberapa jiwa yang sakit kerana kontemplasiku ini. Sekirnya aku mengimani bahawa pencarian ini adalah sesuatu proses ibtila'(ujian) dari tuhan, aku masih punya peluang walau seperca untuk gembira. Juga menggembirakan orang lain.


Kata Salman Al Audah hidup sekiranya tidak ada tujuan walau seperca, seperti hidup di dalam penjara yang besar. Aku tidak pasti, aku sekarang di dalam penjara dan di dalam perjalanan mencari jalan keluar (tujuan hidup), atau aku masih lagi dalam usaha untuk membuktikan kewujudanku. Apa yang aku pasti, dari eksistensi dan esensi, aku sudah temui salah satu dari keduanya.


Tamat.







Thursday 9 February 2017

Cerita dari Dia

Aku dirogol ketika aku di tingkatan lima.

Kenapa aku mulakan ceritaku begitu. Ya, kerana itu kebenaran. Ya, benar kata kata orang aku ini sudah tidak suci. Ya, stigma masyarakat yang sakit sekali penerimaanya namun ia benar. Aku dipandang hina, ditohmah caci, dilempar najis nista. Ya, aku terima semuanya.


Aku- Kenapa kau memilih aku untuk mendengar kisah kau?


Apa kau tidak mahu mendengar?


Aku- Tidak kalau ianya mengembalikan sakit kepada kau.


Aku sudah lama sakit.

Sudahlah kau dengar saja. Aku cuma mahu bercerita. Selebihnya terserah kepada kau. Apa kau mahu terus membuangya dalam kelupaan atau kau ahh terserah.

Ayahku meninggal ketika umurku tingkatan satu. Waktu itu dia punya sebuah restoran nasi kandar. Bila ayahku meninggal ibuku yang mengambil alih. Tidak lama beberapa tahun kemudian aku sudah lupa bagimana kami muflis. Kemudian ibuku mengambil upah membasuh dan menjahit pakaian sambil sambil bekerja menolong kawannya meniaga kecil kecilan.

Abang sulungku tua tiga tahun dariku. Aku punya tiga orang adik. Seorang meninggal ketika masih lagi bayi. Tinggal lagi dua yang masih kecil. Senang cerita kami berempat. Aku dan abangku tidak berapa akrab mungkin dia lelaki, aku perempuan. Kami kurang bercakap sesama kami atau mungkin aku dan dia jenis tidak banyak bercakap. Waktu di rumah dia dengan halnya aku dengan hal aku. Pulang dari sekolah aku akan sediakan makan malam. Kau tahu aku punya bakat ibuku, handal memasak.

Selepas makan malam, aku akan ajar dua adikku mengaji sambil setia menunggu ibu pulang dari kerja. Abangku keluar dari petang, entah makan atau tidak, entah ke mana perginya akan balik sebelum ibu pulang dari kerja. Sebenarnya selepas peristiwa dia ditampar ibu pada suatu malam.

Malam itu agak panas. Barangkali angin merajuk sama bulan. Ibu pulang tepat pukul 9 malam. Terus ibu bertanyakan abang. Aku cuma menggeleng. Ibu tidak mahu makan. Sejam ibu menunggu abang pulang. Pukul 10 lebih sikit abang pulang dengan lebam lebam di muka, berdarah di tangan. Aku sudah panik, apa lagi ibuku.

Kenapa sampai jadi begini? Along ke mana? Tak kesian ke kat mak? Bekerja dari pagi sampai malam. Cari duit untuk along dan angah sekolah. Beli barang dapur untuk kamu semua. Tengok tengok sampai luka kat muka darah sana sini. Kenapa ni?

Along cuma diam. Seperti selalu. Aku cuma perhatian saja. Kedua adikku sudah tidur.

Along, dengar tak ni?

Along dengar.

Habis tu, kenapa diam? Along?.

Emak terus menerus mendesak.

Dah la mak, along penat. Along nak tidur.

Along, jangan nak mengelak mak tanya ni. Along.

Isy mak ni. Along tak ada apa apa la. Mak tak payah nak sibuk sibuk fikir pasal along. Apa nak jadi pada along mak tak payah nak sibuk sibuk tahu. Along kena pukul ke mati..

Papp.


Mulai esoknya along akan pulang lebih awal dari ibu. Entah aku pun tak tahu mungkin dia menyesal meninggi suara pada ibu. Bila along pulang aku akan bagitahunya makan malam sudah tersedia bawah tudung saji. Dan dia seperti setiap malam hanya mengiyakan sahaja jarang benar diusiknya makanan itu. Bila ibu bertanya along sudah makan aku cuma mengangguk. Aku tidak mahu ibu dan abang bertengkar.

Abang mulai jauh dengan ibu. Tidak langsung bercakap, bila ibu mahu memberi duit belanja dia cuma diam dan mengambil. Tiada langsung berterima kasih. Tetapi dia masih mencium tangan ibu.
Ibu seperti selalu menitip pesan buat dia dan aku agar belajar rajin rajin. Ya tidak pernah lupa.

Masuk tingkatan empat ibu jatuh sakit. Sebulan selepas itu ibuku dijemput tuhan. Tinggal kami berempat. Kedua adikku diambil makcik, kakak ayahku dijadikan anak angkat mereka. Tinggal kami berdua. Aku dan abangku.

Setahu aku abang menolong kawannya Azman menjual burger di hadapan kedai runcit Uncle Siew. Pagi ketika aku mahu ke sekolah dia masih tidur. Bila aku pulang dia sudah keluar. Pukul berapa dia balik rumah aku pun tidak tahu. Yang pasti nasi dan lauk  tidak langsung diusik.

Sebenarnya berkali kali dia berpesan tidak perlu masak untuknya. Pandai pandai dia cari makan. Dia dah besar. Akulah yang degil tetap juga masak untuknya. Apa apa pun dia abangku, aku risaukan dia.
Setiap bulan dia akan beriku seratus ringgit. Aku menolak perlahan. Kataku mak cik sudah beri wang belanja. Untuknya juga ada. Abang seperti biasa menjawab,

Duit makcik angah simpan saja, bahagian along sama buat perbelanjaan beli buku buku nak Spm nanti. Selebihnya buat persediaan masuk Universiti. Duit yang along bagi ni ambil, buat belanja tiap hari, jangan tolak.

Aku cuma menurut. Duitnya itu sedikit sahaja yang aku belanja. Itupun bila betul betul perlu.

Masih segar di ingatan bila tibanya hari raya. Makcik akan datang menziarah. Waktu itu aku lepaskan betul betul rindu pada kedua dua adikku. Menangis teresak esak aku. Mak cik dan pak cik memahami. Along sesudah solat raya terus menghilang. Bila kedua adikku bertanyakan dia, aku cuma mengalih perbualan.

Petang ketika mak cik dan pakcik mahu pulang, kedua adikku tidak kering dengan air mata. Lama juga mahu memujuk mereka. Bila kereta Saga milik pak cik beredar aku berteleku di hadapan pintu, menangis sayu.


Aku- Kau ok?


Jangan risau.

Peristiwa malang itu berlaku tiga bulan sebelum SPM. Waktu aku pulang dari rumah Amira mengulang kaji pelajaran. Jam sudah pukul 9 malam.

Aku menolak pelawaan bapa Amira mahu menghantar aku pulang. Aku berjalan bertemankan lampu suluh milik arwah ibu melalui lorong yang agak sunyi. Dari jauh dapat aku lihat neon neon lampu biasan dari medan selera betul betul tepi kedai perabot. Agak riuh suara pengunjung di medan selera tersebut. Tiba tiba..

Angah buat apa jalan sorang sorang?

Hampir luruh jantung aku. Along betul betul di hadapan.

Angah baru balik dari rumah Amira, ulang kaji pela..

Dah kenapa tak minta tolong ayah Amira hantarkan balik? Kan bahaya perempuan jalan sorang sorang kat tempat gelap sunyi macam ni. Isy tak kan tu tak reti fikir. Dah jom along hantar balik.

Ketika dalam perjalanan pulang sku sempat mendengar along menelefon seseorang.

Ni tak jadi ambil aku kat kedai Pak Taufiq, ambil aku kat rumah aku. Ye kat rumah. Alaa bukan jauh mana pun. Ok aku tunggu kau jangan lambat pulak. Aku dah janji dengan Azman nak buka gerai awal sikit malam ni.

Begitulah seingat aku.

Sampai di rumah along bertanya aku dah makan malam belum. Jawabku sudah. Ketika aku mahu mengulang pertanyaan itu kepada abangku terus dia mendahului,

Lain kali jangan jalan sorang sorang malam malam. Angah tu perempuan. Jadi apa apa kan susah. Kalau lelaki tak kisah. Perempuan panjang kisahnya, teruk kesannya. Angah faham kan?

Ya angah minta maaf long.

Dah pergi masuk tidur.

Along dah makan?

Dah, jangan risau.


Aku terus masuk bilik salin pakaian dan bersiap siap mahu tidur. Tidur awal bangun awal. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi motor di hadapan rumah. Mungkin iu kawan abangku yang mahu mengambilnya pergi ke gerai burger milik Azman. Dan tekaan aku benar bila dengar sahaja pintu rumah ditutup dan motor tersebut beredar.

aku terus memejamkan mata.


Aku rasa aku sudah di alam mimpi. Namun ianya mimpi yang amat ngeri. Tiba tiba aku terasa bagai dihimpit sesuatu yang berat dan hampir melemaskan aku. Nafasku tidak teratur. Aku cuba menolak perlahan lahan tetapi kudrat perempuanku membataskan aku. Entah bagaiman aku rasa baju aku di rentap dengan kasar, aku dapat mendengar koyakan di baju aku. Aku cuba melawan, namun aku tidak tahu dengan siapa aku berlawan.

Mimpi apakah yang mengerikan ini?

Barangkali aku mula sedar bila aku terdengar nafas seseorang yang amat dekat dengan telingaku waktu itu, nafasnya mendengus kuat sekali. Bila aku cuba membuka mata, aku terdengar suara abang.

Azmaaaaaan babii punya manusiaaaa

Apa sudah berlaku? Bagaimana Azman boleh ada dalam bilikku? Kenapa abang membelasah Azman? Entah kenapa aku terasa letih, bahagian sulitku terasa sakit.


Aku- Sudahlaah. Jangan memaksa diri kau.


Kau tahu, bagaimana perasaan perempuan yang sudah disentuh oleh lelaki yang bukan suaminya, kau tahu bagaimana perasaanya. Sakit sekali. Sakit..


Aku- Kau buat aku serba salah.


Maafkan aku. Aku ingat walau ianya dah lama berlaku, aku boleh kawal emosi aku.

Abang membelasah teruk Azman. Si durjana itu. Mungkin dia rasa dikhianati oleh rakan karibnya yang banyak membantunya selama ini.


Aku- Sudahlah kau, jangan memaksa diri kau lagi. Habis dah tu tisu yang kau bawa.


Kau ni boleh pula kau berjenaka.

Baiklah, aku pulang dulu kau. Terima kasih kerana meluangkan waku untukku walau aku tidak mendapat keizinan dari kau dulu. Aku berjanji bila kita bertemu lagi, kau akan mendengar yang selebihnya.


Aku- Tetapi kau tahu aku tidak memaksa kau bukan?



***



*Aku cuma ingat dia tersenyum manis walau matanya merah tersembam dengan air mata sebelum beredar pergi. Aku akan ceritakan selebihnya nanti di pertemuan kami yang berikutnya. Jika waktu dan kesempatan memberikanku peluang.


2/9/17













Monday 19 December 2016

Cerpen : Gadis Harapan



Menjadi lelaki yang keliru sudah menjadi kesukaanku.


Kau memang selalu begitu. Tidak pernah kau cuba untuk memberi peluang kepada 'ruang' memberi cahaya kepada sudut celahan yang kelam.


Sedarkah kau dalam kata katamu tersepit perkataan celahan, tidakkah ia bererti kau juga masih samar dan tidak pasti?


Tiada sesuatu pun yang pasti bila melibatkan  kesempatan yang belum  hadir, masa yang belum tiba!


Pulanglah! Aku mohon.


Kau terlampau berlembut dengan igauanmu yang silam, kau kena keraskan hatimu! pasakkan jiwamu!


Selamanya kau tidak akan memahami dan aku tidak mengharap kau untuk memahami Indi.


Aku pergi dulu.


Indi menunduk kecewa. Dia benar benar penat. Sudah berpayah dia datang dari jauh menaiki bas yang kerusinya terkoyak kulit, tingkapnya keruh berdebu, tidak punya penghawa dingin.

Sebenarnya dia sudah menjangka ini yang akan terjadi. Menembusi jiwa seorang lelaki yang keliru bukan dia jago annya.

Dia menjeling lelaki keliru itu sekilas dan terus menapak kaki dan pergi dari situ. Melangkah ke stesen bas yang munggar manggir manusia seakan tidak menghirau langsung kecewanya. Semua orang bagai melangkah di atas bara bara api, tiada langsung peduli.



***


Bahang yang dirasai terus menerus menerkam. Peluh yang makin dikesat makin mengalir hampir melencunkan baju yang di pakai. Hari itu dia cuma ber tshirt biasa, kemeja usangnya diikat dipinggang. Beg kecil seperti biasa di gantung di leher. Dalam beg itu ada sebuah novel sastera.' Perindu Nasib Yang Malang ' karya Chahid yang dilemparkan padanya berbagai kritikan terutamanya dari pakar pakar motivasi di negara ini. Kata mereka novel itu tidaklah ia melainkan sampah yang banyak memutuskan asa manusia manusia yang letih dari terus menagih harap.

Dia behenti melangkah di hadapan sebuah pondok telefon awam. Melihatnya dua orang anak gadis lagi bercakap cakapan sesama sendiri. Bergurau gurau sekali sekala bertepuk tepuk.


Maaf, saya mahu guna telefon.


Dua orang anak gadis itu sempat menjeling jeling ke arahnya sebelum beredar.

Dia di hadapan telefon. Di genggamannya ada lima puluh sen!,

Pantas jarinya menekan beberapa nombor. Sabar dia menunggu.


Hello


Hello


Helloo


Dia terpaku kata. Keningnya mengerut. Sebal, malu.


Indi..


Saya, siapa bercakap?


Hello


Hel...llo, Qhael?


Kau sihat Indi?


Ya aku sihat


Kau bagaimana Qhael?


Sihat


Jeda.


Kalau kau cuma mahu berdiam sehingga duitmu itu habis ditelan, elok benar aku letak sahaja gagang ini Qhael.


Aku..


Aku mahu minta maaf.


Sudah aku maafkan.


Kau seperti masih marah.


Aku ini perempuan Qhael. Perempuan itu hatinya lembut dan mulus, lagaknya tertib dan telus, walau zahirnya duri yang menusuk, duri itu adalah pelindung kelembutannya. Takkan itu kau tidak tahu? Kau pernah bilang mahu jadi orang sastera. Sastera itu bermain dengan seni, seni. Malangnya kau tidak memiliki seni seorang sastera Qhael!


Aku minta..


Tut tut tut. Talian terputus.


Dia mengeluh.



***



Buku kecil itu dibuka, ternyata ada secebis kertas dilipat dua.


' Jalan itu tetap ada. Ketika kau berpatah atau menerpa, tatkala kau tersimpuh jatuh atau tenang kau berlari. Jalan itu tetap ada. Bukalah hatimu untuk akalmu. Sambutlah kemaafan ruang yang ingin berbaik denganmu agar kau masih punya sesuatu kesempatan yang baru Qhael! '


Dia tersenyum. Benar, Indi adalah seorang gadis yang bijak dalam menyusun kata, sopan dalam memujuk lara.

Kertas itu dilipat kembali. Dia memandang kosong. Seorang pakcik buta bertongkat ingin melintas jalan. Lantas datang kepadanya seorang anak gadis bayanya menghulur bantuan. Dipegang erat tangan pak cik itu. Kenderaan kenderaan bertoleransi memperlahan dan berhenti.

Pak cik buta itu menggenggam kemas tangan anak gadis itu. Menunduk nunduk berkali kali tanda berterima kasih. Gadis itu tersenyum kecil, manis. Setelah berpisah dia melihat anak gadis itu berjalan ke arahnya. Perlahan, teratur, penuh tata tertib.


Lama kau menunggu?


Dia hanya tersenyum.


Apa yang kau termenung jauh tadi?


Kau.


Anak gadis itu tersipu. Jelas pipinya kemerahan.


Kau, ada ada saja!


Indi.


Ya.


Terima kasih.


Untuk?


Kata katamu ini.


Buku kecil itu dibuka kembali. Lipatan dua itu juga dibuka. Dia menyerahkan kertas itu kepada gadis itu.

Indi menyimpulkan senyuman manisnya yang menggugah seperti selalu. Lesung pipitnya timbul saat dia tersenyum. Dia menyerahkan kembali lipatan kertas itu.


Bagaimana kerja?


Seperti selalu, pengunjung tidak ramai. Entahlah mungkin anak anak muda sekarang sudah tidak lagi mahu membaca buku buka lama. Barangkali.


Uncle Weong bagaimana, kakinya sudah pulih?


Sudah, tiga hari lepas. Tapi Aunty Maria yang jaga kedai. Uncle berehat di rumah. Aku bangga dengan mereka suami isteri. Membuka kedai buku buku lama. Dua duanya walau kelihatan biasa, tetapi minat membaca. Paling kagum, walaupun tidak ramai yang mengunjung ke kedai mereka tidak langsung berkira.


Gadis itu kembali tersenyum.


Senyap. Hairan kenapa seringkali dia  bersebelahan dengan gadis itu pasti kata katanya segan untuk keluar. Bagai terpaku kejap. Dalam.


Qhael..


Ya


Menungannya terenjat. Dia memalingkan muka menghadap Indi.


Kau tidak ada apa apa yang ingin kau katakan?


Sekali lagi dia hanya mampu berdiam diri sahaja.


Haha kau.


Kau bukan tidak faham aku Indi.


Lelaki keliru yang jiwanya sering beralun memang sukar untuk difahami..kau benar benar seorang yang kompleks Qhael!


Dia memandang tetap ke arah mata Indi. Raut wajah gadis itu tetap tenang seperti biasa.


Begitukah aku?


Dia kembali memandang jalan yang sibuk dengan kenderaan.


Jom kita jalan jalan Indi.


Dia melangkah mendahului.




***



Sudah hampir 10 minit berjalan tanpa bersuara. Anak gadis di tepinya tetap sahaja tenang. Namun dia cuba untuk lebih tenang agar mampu memulakan perbualan.


Indi, kadang suatu hari semuanya berjalan dengan sempurna. Tidak seperti selalu.


Anak gadis itu hampir terkejut. Kemudian tersenyum dan mengerti.


Kadang kala, aku sendiri tergamam dengan aturan kehidupanku. Ada ketika aku sendiri hampir tidak percaya. Mengapa hari ini terasa begitu sempurna, semuanya teratur dan aku tidak keliru. Maka pada hari itu, pada detik itu aku cuba untuk ketawa pada kecelaruan perasaanku. Aku cuba untuk berbaik sangka dan kerap aku mengingatkan diriku yang semua yang terjadi ada sebabnya. that everything happens for a reason



Hampir seminit anak gadis itu berkontemplasi.



Qhael, Ada beberapa kala, bak katamu semuanya terasa sempurna. Namun rasa aku kau tidak memerlukan sesuatu itu berlaku dengan sempurna senantiasa. Kau hanya perlu bergerak seiring angin yang tenang menghembus walau tidak kau ketahui dari mana datang ke mana perginya. Hiburkan dirimu dengan setiap waku yang kau lalui kerana manusia itu jika ia terlampau mengharap, dia akan menjadi obses. Apabila dia sudah menjadi obses dia tidak akan mampu untuk berkontemplasi dengan rasional.



Anak gadis itu berhenti mengambil nafas sekejap sebelum menyambung.



Sesuatu yang berlaku itu di luar batasan kemampuan penerimaan kita Qhael. Penerimaan kita terhad walau kemahuan kita ini tidak terhad. Bagiku mungkin dengan tidak mengambil endah lebih diperlukan dari kita daripada kita terkejar kejar mencari apa yang sebenarnya. Ia memerlukan waktu Qhael, dan waktu itu yang akan menjelaskan semuanya. Cuma itulah, waktu itu harus dimulai dengan sabar. Sabar.


Dia hanya diam. Berfikir fikir ada betulnya kata kata gadis bermata redup yang pintar itu.


Oh ya, minggu depan ada pementasan teater, kau mahu turut serta?


Aku tak ada bakat berlakon Indi.


Haha kau ada ada saja. Maksud aku turut serta sebagai penonton. Aku tahu kau kayu. Haha.


Tawanya terkawal. Sering dia menutup mulutnya dengan tangan ketika dia mahu ketawa. Dia benar benar hawa yang 'terjaga'.


Dia terus mengalihkan pandangannya. Tanpa sedar dia terlalu asyik memerhati wajah gadis itu.

Dan Indi perasan itu.


Kena bayaran?


Aku tahu kau bukan jenis berkira Qhael, dan kau minat teater bukan?


Dia tersenyum sahaja. Mengiyakan.



***



Bersambung.(kalau rajin)

Thursday 3 November 2016

Bersajak dalam sunyi

Aku membuka buku kecil, ternyata ada sesuatu yang sayu,

" Sejak aku menyertai segerombolan kepedihan, aku jadi lupa di sana adanya persimpangan yang memberi si lapar makanan, si pendahaga minuman. Barangkali begini rasanya menjadi seorang perindu. Yang aku tahu hanya terus mengekori kepasrahan yang langsung tiada padanya harapan apatah lagi destinasi atau tujuan.. "

Lantas aku terus bersajak dalam sunyi,

" Sejambak bunga resah bersama secebis kertas kesah, aku sertakan sekali dalam bungkusan hadiah pilu, sebagai buah tangan untuk kau letakkan di hadapan kubur seorang perindu, perindu nasib yang malang. "


Bersajak dalam sunyi
3/10/16
Malam.

Saturday 24 September 2016

Sajak kenangan


Apa erti sajak aku ini
jika tidak aku mampu
memujuk hatimu
Apa guna kata kata aku ini
jika aku tidak menyedari
ia hanyalah tersepit
di celahan sebuah kenangan

20/9/16

Thursday 15 September 2016

Tentang seorang gadis

Pagi kelmarin aku mendengar cerita tentang kau
Tentang seorang gadis
Yang baru pulang dari wilayah pilu

Malam itu aku menggeledah jiwa kau
Atau kau yang lagi membongkarkan pada aku tentangmu

Aku dan secangkir kopi di pagi hari ini ibarat kenangan dan sebuah kesempatan
Masing masing memberitahu aku usah terburu buru

Mereka masih mahu menceritakan tentang seorang gadis..
Yang keliru!



Pagi jumaat yang hujan sudah berhenti,
16/9/16
0900