Saturday 23 January 2016

Pencinta yang gagal

Pencinta yang gagal.

Aku bersyair,

" Kau tika ini adalah angin langkisau, menghiburkan hati yang lagi galau. Kau juga kadangkala menjadi air yang mengalir perlahan, membawa aku yang sering gundah ke dasar hatimu yang menenangkan. Tapi aku bak kata Sapardi, aku ingin mencintaimu dengan sederhana, dengan kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu.


Kau membalas,

" Cinta kau tidak realistik, kau gagal menjadi gunung yang kukuh mencengkam bumi agar teguh di atas paksi cinta yang aku dambakan. Maafkan aku, kau gagal. "

Friday 15 January 2016

Surat untuk kau : Aku yang mengikut pasrah.

Menghalusi gerak gerak angin yang cemburu, perlahan lahan dia datang mencengkam tulang belulang aku. Aku mengeluh perlahan. Keluhan yang dihembus menjadi kepulan kepulan kabus yang terus hilang ditelan kepekatan malam gelita.


Bertafakur syair Darwisy,

Ketika aku di landasan keretapi,
Aku termangu sendiri,
Tidak aku tahu keretapi yang datang itu Untuk membawa aku pergi,
Atau ia hadir membawa kau kembali .


Memaknai hidup adalah lebih sukar dari meneruskan hidup. Dan ya meneruskan hidup itu tidak sama dengan masih hidup. Aku masih hidup, dan aku masih meneruskan hidup. Cuma yang masih aku termenung bungkam, adakah hidup aku ini bermakna?


Kau,

Soalan ini tidak lelah menghantui aku, kejam menyinggah di dalam mimpi ngeri aku, kerap menjadi batas tinggi menyebabkan aku tersadung berdarah ketika mana melewati jalan yang aku putus tanpa kontemplasi.


Aku ini bagaimana kau?

Kau, aku suka bermimpi, namun aku sukar membina mimpi dalam erti kata yang sebenarnya. Mimpi yang meneraju cita cita yang besar, mimpi yang menerobos pekung pekung batasan, mimpi yang membawa kepada diksi diksi yang punya arah tuju, tidak seperti aku yang hanya mampu menyusun kata kata tetapi buta mata tidak tahu ke arah mana.


Kau, keretapi laju meluncur bagai tidak peduli hati yang lagi lecur. Kejap berhenti dan kejap berjalan seperti aku yang tiada tujuan. Aku ketika ini seperti apa kata Darwisy yang lekat aku ingat,


Aku perindu nasib yang malang,
Tak mampu aku ke arahmu,
Tak mampu aku pulang kepadaku,
Hati aku lagi memberontak..


Ahh entahlah kau, serupa mereka bilang, bila kita mempersoal, bukan jawapan yang sebenarnya kita harus tunggu, tetapi jalan mana yang mesti kita tuju. Aku mengiyakan kata mereka ini.


Cuma kau, dalam kebingungan yang berterusan, bila mana persoalan itu mampu aku bongkar jawapannya. Aku jadi geram sekali, ia pasti meletuskan persoalan persoalan lain yang lebih meletihkan. Sepertinya, jawapan yang aku temui itu bukanlah jawapan yang hakiki, ia cuma jalan atau laluan untuk aku menceroboh kubu jawapan yang sebenar.


Kau, aku sang pemimpi yang tegar, walau seringkali sukar mengait sabar. Mimpi aku adalah harapan harapan yang renyah aku nyalakan ke langit impian. Cita cita aku adalah destinasi yang pasti yang aku bajaki awal awal lagi. Namun semua itu tewas di tangan keserabutan aku mencari hikmah perjalanan. Aku bingung kau.


Kau, ketika aku menulis perenggan ini keretapi berhenti sekali lagi, dan kali ini hatiku berat memujuk aku supaya turun. Maka kau, aku bergantung pasrah, mengikut serah, ke mana kaki aku melangkah, ke situlah akan aku bawa bingung bingung aku, menjejak mimpi mimpi yang baru. Moga moga aku ketemu.


Selamat kau!

Thursday 14 January 2016

Surat untuk kau : Aku yang sukar bangkit.

Ke hadapan kau yang menyinggahi mimpi aku semalam. Apa khabar?

Ah, usah dijawab khabarmu bagaimana, ia pasti akan menambah sedihku. Maafkan aku kau. Maafkan.

Aku ingin menyusun kata kata untuk kau, dalam ruangan waktu yang suka aku curi. Anggaplah aku ingin menebus salahku.

Hari ini hari peperiksaan. Dan kau tahu, yang aku tulis bukan lagi jawapan jawapan, tetapi bagaimana kesudahan cerita kau dan aku untuk aku tamatkan. Sungguh sukar sekali untuk aku memilih ayat yang mana, rima yang mana untuk aku noktahkan.

Ahh kau, tadi terdetik rasa bersalah kepada orang tuaku di kampung. Yang tidak lelah memerah keringat mereka semata mata ingin melihat aku berjaya. Tetapi aku di sini, terperangkap dalam tanda tanya cerita kita yang tidak aku tahu bila ianya bermula dan ke mana aturan takdir akan membawanya.

Kau, aku ini sudah banyak membebankan orang tuaku. Aku ini aduh sukar sekali untuk kau mengertikannya, adalah anak yang sering buat ibu dan ayahku mencuri masa berharga mereka memikirkan masalah aku yang sering saja bikin perangai.

Aku sudah tidak tahu bagaimana ingin menangis lagi kau, dan akhirnya diam sahaja yang aku pilih. Benarlah kata orang, tahap yang paling tinggi seseorang lelaki iti diuji, apabila dia diam sahaja bertemankan sunyi, walau dia hidup di dalam keriuhan.

Kau yang jauh di benua sana, yang sering menyinggah di dalam mimpi ngeri aku. Yang menghantui malam malam sepi aku. Yang menjadi angin cemburu yang mencengkam hingga ke tulang belulang aku. Yang memaksa aku kekal di dalam selimut tebal dan aku mengeluh lagi mengeluh, dan masa terus berlalu.

Kau, kertas aku masih berbaki dua subjek untuk ditewaskan di medan juang. Tetapi aku awal awal lagi sudah tersungkur di halaman pintu hati kau yang terusan berkunci. Awal  awal lagi sudah aku ditewaskan dengan sepimu tanpa jawapan pasti.

Moga moga denga surat ini ( yang aku tahu kau tidak akan membacanya ), paling kurang aku mengaku aku yang bersalah dalam luka yang yang menghiris hati suci kau. Sekali lagi maafkan aku kau !

Monday 11 January 2016

Putus asa

Di musim peperiksaan, yang aku baca bukan lagi buku buku pelajaran, tetapi lembaran lembaran kenangan kita yang aku terpaksa ronyok, untuk dilontar ke dalam bakul sampah.

Di hari peperiksaan, yang aku tulis bukan lagi jawapan jawapan, tetapi kesudahan cerita kau dan aku untuk aku tamatkan.

Saturday 9 January 2016

Kata kata maaf

Dan kata kata maaf aku susun, dengan harapan kau berkenan mengampun.

Wahai kau yang sudah jauh di negara asal, negara tanah tumpahnya darah kita. Tanah yang mengajar kita membina harapan moga moga tercapai segala impian. Tanah yang memberanikan kita mengharungi segala yang mendatang. Juga tanah itulah kerananya, kita berkenalan.


Wahai kau yang terlanjur aku sakitkan hatimu. Jika ada kata yang lebih baik dari kata maaf untuk aku menunduk, menyembam kepadamu, jika ada segala cara untuk aku memujuk takdir mengulangi masa dahulu, pasti itu yang aku dahului.


Kau, kesilapan pasti sahaja berlaku. Dan aku lelaki yang selalu gagal, kesilapan dan aku sudah ibarat sahabat karib. Sudah berkali kali aku mengutuk diri aku yang selalu sahaja berteman dengan kegagalan. Wahai kau, aku lelaki yang gagal yang rela aku tundukkan hati jantanku, untuk kau terima dengan peluang yang kedua.


Kau yang sudah jauh, tiadakah peluang kedua untuk aku? Tiadakah walau secebis kasihan? Wahai kau jikalah kau mengerti keterlanjuran aku itu sebenarnya aku merisaukanmu. Aku risau kau akan terluka. Kau sangat penting dalam hidup aku. Tiada maaf bagiku jika kau terluka ketika mana aku dalam gembira. Mengertikah kau?


Kau, kalaupun tiada peluang kedua untuk diriku, berilah peluang kedua itu untuk dirimu. Manusia itu pasti akan terduduk kekalahan. Manusia itu tidak dapat tidak pasti mahu mengalah kekecewaan. Namun sedarkah kau, kekalahan yang kau rasai itu membawa hikmah yang besar untukku.


Kau mengajarkan aku berjalan itu bukan sahaja untuk melepasi cabaran yang menghalang. Berjalan itu sebenarnya adalah sesuatu yang perlu kita hargai dan kita raikannya untuk diri kita. Hikmahmu menyedarkan aku bahawa teruslah berjalan, maka kita akan temui lebih banyak kebahagiaan. Tahukah kau itu?


Wahai kau yang tak terluah namamu aku ucap, kerana aku begitu sedih. Lupakah kau saat saat, detik detik kita terenyum ketika pertama kali kita berjumpa. Dan pertemuan kita selepas itu semuanya kita hiasi dengan senyuman. Lupakah kau tika kau terpingkal pingkal mendengar lelucon, celoteh aku. Lupakah kau saat kita melangkah seiring dan sejalan bersama sama, kau rapat di tepi aku seperti aku ini pelindungmu. Aduh mana mungkin aku lupa itu, dan moga moga kau juga.


Kau yang terlalu jauh, aku hairan bagaimana aku bukan orang pertama yang tahu kau telah pun menjauh dari aku, dari semua. Kau melarikan dirimu dari semua orang benar amat menyedihkan aku, tetapi aku bukanlah yang pertama mengetahuinya yang menambah perih ini. Aku hairan.


Aku bukan nak isytihar aku lah yang terpenting bagimu. Dan telah terbukti aku ini bukanlah siapa siapa. Kalau tiada yang mengkhabarkan pemergianmu, pasti aku tidak tahu. Sedarlah aku sekarang, aku ini tidak penting bagi sesiapa pun.


Atau...

Mungkin aku ini bodoh, kau memerlukan waktu untuk menceritakan segalanya. Aduh aku ini sama seperti dahulu, gopoh.
Aku bertambah yakin ini apabila kau mengatakan dalam utusan surat pendek, ' aku fikir mahu khabarkan padamu sejurus selepas kau selesai ujianmu '. Kenapa lah aku bodoh tidak menyedari itu dahulu. Ahh bodohnyaa.


Dan sekarang lihatlah aku, utusan surat aku kepadamu tidak kau sudi membalasnya lagi. Maafkan aku kau. Aku telah sakitkan hati perempuan kau yang teramat suci. Maafkan aku !


Andai kata kata maaf itu bisa aku hamparkan di atas bumi yang luas ini, benarlah aku tak mampu. Tapi kudrat aku hanya mampu menulis di atas lampiran kertas yang aku sendiri tahu, kau tidak akan membacanya.


Biarlah, sudah aku titip pesan buat angin, agar usah biarkan kau sendiri keseorangan. Agar kau tidak lagi sepi bernyanyi sunyi. Dan maka ketika kau sedang mendakap angin itu, moga moga kau sudah mengampuni aku.


Maafkan aku kau !

Saturday 2 January 2016

Surat untuk Dia.

( Dalam ruangan waktu yang moga moga mengizinkan aku menulis Surat ini. )

Apa khabar kau? Hampir setahun cinta kau aku berkenalan. Walau kau mungkin sudah dimiliki, namun kau tetap menjadi cerita yang tak akan aku padam.

Kau mengajarkan aku bahawa sentiasalah memberi perhatian pada kata kata agar ia selalu menjadi harapan pada orang orang.

Ajar mu itu aku amalkan dalam setiap bahagia dan rencah kisahku. Aku setia memberi harapan walau satu ketika aku tidak lagi punya harapan.

Ahh kau dan harapan itu bagiku, sahabat karib. Adanya kau, aku rasakan harapan itu selalu menungguku mendakapnya. 

Walau langit telah merah dan bianglala telah pun rebah ( persis katanya Hamka ), kau menyedarkanku hidupku masih milikku, artinya perjalanan hidupku masih jauh. Dan jauh itu membawa konotasi, hidupku masih ada, masih perlu ditempuh dan masih padanya harapan harapan.

Wahai kau, yang aku harap sudah mengecap bahagia. Alangkah sedih tak terkata kalau kau masih lagi berduka. ( aduh mintak simpang ). Aku jadi teringat, saat aku membalas puisi tafakkur alammu, ahh aku sedang tersenyum sekarang, bagaimanalah aku tergerak hati untuk membalasnya. Laju pula kata kata balas itu ku coret.

Kau tahu, aku tika itu ibarat sang pemimpi yang terbang, jauh, tinggi. Yang Meninggalkan luka yang dalam, parut yang ku fikir kekal, renyah yang sangat membeban. Aku terbang, tinggi dan bahagia sekali. 

Aku sebenarnya tidak reti bereulogi, aku tidak pandai bermain kata, tapi sungguh kehadiran kau banyak menyeronokkanku bermain falsafah falsafah. Seperti pernah aku bilang, falsafah adalah Suatu perasaan yang ingin kau selam mencarinya, walau kau tidak menemui, namun kau tetap bersungguhan mencari. Ini pertama.

Kedua, kehadiran kau membuatkan aku berani untuk menzahirkan apa itu Cinta. Kerana cinta yang aku lihat pada kau, begitu luas dan lapang ertinya.

Cinta yang aku kontemplasi dari kau, adalah cinta yang membawa berjuta juta definisi. Setiap orang berhak memberi definisi apa itu Cinta mengikut kata hati mereka. Kau seolah menjernihkan tohmahan, keruhan, kutukan orang orang yang terlanjur menghukum apa itu Cinta.

Cinta yang membawa ku sehingga kini, cinta juga yang memberanikan aku untuk menempuh segala yang menakutkan. Cinta juga yang bersungguhan membangunkan aku ketika aku tersadung berdarah. Dan juga, cinta lah yang memberi aku walau secebis harapan.

Cinta juga mengajarkan aku apa itu perpisahan. Cinta tidak semestinya bersatu, ada satu saat cinta harus berpisah agar orang lain yang akan bersatu, bukan aku. Dan bila perpisahan itu terjadi, ia bukan bermakna cinta aku itu gagal.

Buktinya kita, ya aku dan kau. Kau dan aku tidak akan bersatu kerana aku harus terima, bahawasanya hakikat kewujudan kau bukanlah untukku. Walau pun cinta aku kepada kau adalah bukti kewujudanku.

Kau,

Semalam kau aku ketemu, dan kau pasti tidak perasan. Aku lihat kau begitu kuat dan ceria berkongsi cerita cerita bahagia kepada ramai orang, Ahh cemburunya aku. Kuat sekali hatimu. Kau buat aku bungkam dengan hatimu yang pasak.

Tapi aku tahu, kekuatan dan kepasakan hatimu, bermula dari pengakhiran yang kau mulainya kembali.

Aku pernah kecewa dengan kata kata Darwisy, dia kata ' aku tak mahu dari sebuah cinta itu melainkan permulaanya sahaja, kerana pengakhirannya mesti menyakitkan. '

Kau ibarat menyempurnakan luahan Darwisy itu, seolah olah kau ingin membakar semangat aku, bahawa pengakhiran itu mesti dimulai kembali, dan jika ia berakhir juga dengan kesakitan, maka aku harus bermula sekali lagi. Hebatnya hikmah kau.

Dan lagi yang bisa aku teladani dari Cinta kau, ' manusia adalah sebab manusia lain bahagia, ' ( benar kata Baharuddin Bekri ini ). Dengan kata lain yang lebih mudah difahami, iaitu orang panggil berkongsi.

Hidup ini tidak kita seorang, kadang kita hanya aktor dalam mimpi, orang lain yang mengecapinya dalam realiti. Aku adalah aktor dalam mimpi itu yang ingin memiliki kau, tapi orang lain yang mengecapi cinta kau di alam realiti. Ahh cantik sungguh aturan takdir.

Maka kau, teruslah berkongsi kisah kisah cinta yang menarik kepada orang ramai, kerana pasti dalan ramai ramai itu ada yang sedang bersedih dalam bercinta.

Aku ingin berundur dulu, sebelum itu aku dapat tahu hati kau sudah diketuk kan? Namun jangan risau, kau sudah aku rela dimiliki orang lain. Bukalah hatimu untuk dia, jangan biarkan dia terus terusan mengetuk hatimu. 

Dia juga insan biasa yang ingin mendamba cinta, apatah lagi sebuah dan berbuah buah Cinta dari kau. Mana tahu dia akan menjumpai lebih hebat teladan dari cinta kau dari aku. Dan mana tahu, Cinta kau lebih agung dan diiktiraf bila kau bersama dia. Maka jangan hampakan dia.

Aku rasa cukup sampai di sini. Bila nanti kau baca ( hmm, bila itu memerlukan waktu pastinya. ), aku harap tiadalah walau pun sebuah huruf yang menyinggung perasaan hati kau. Moga moga.

Selamat kau, dan terima kasih untuk segalanya.





Kepada,
Dia

Daripada,
Aku.