Thursday 14 January 2016

Surat untuk kau : Aku yang sukar bangkit.

Ke hadapan kau yang menyinggahi mimpi aku semalam. Apa khabar?

Ah, usah dijawab khabarmu bagaimana, ia pasti akan menambah sedihku. Maafkan aku kau. Maafkan.

Aku ingin menyusun kata kata untuk kau, dalam ruangan waktu yang suka aku curi. Anggaplah aku ingin menebus salahku.

Hari ini hari peperiksaan. Dan kau tahu, yang aku tulis bukan lagi jawapan jawapan, tetapi bagaimana kesudahan cerita kau dan aku untuk aku tamatkan. Sungguh sukar sekali untuk aku memilih ayat yang mana, rima yang mana untuk aku noktahkan.

Ahh kau, tadi terdetik rasa bersalah kepada orang tuaku di kampung. Yang tidak lelah memerah keringat mereka semata mata ingin melihat aku berjaya. Tetapi aku di sini, terperangkap dalam tanda tanya cerita kita yang tidak aku tahu bila ianya bermula dan ke mana aturan takdir akan membawanya.

Kau, aku ini sudah banyak membebankan orang tuaku. Aku ini aduh sukar sekali untuk kau mengertikannya, adalah anak yang sering buat ibu dan ayahku mencuri masa berharga mereka memikirkan masalah aku yang sering saja bikin perangai.

Aku sudah tidak tahu bagaimana ingin menangis lagi kau, dan akhirnya diam sahaja yang aku pilih. Benarlah kata orang, tahap yang paling tinggi seseorang lelaki iti diuji, apabila dia diam sahaja bertemankan sunyi, walau dia hidup di dalam keriuhan.

Kau yang jauh di benua sana, yang sering menyinggah di dalam mimpi ngeri aku. Yang menghantui malam malam sepi aku. Yang menjadi angin cemburu yang mencengkam hingga ke tulang belulang aku. Yang memaksa aku kekal di dalam selimut tebal dan aku mengeluh lagi mengeluh, dan masa terus berlalu.

Kau, kertas aku masih berbaki dua subjek untuk ditewaskan di medan juang. Tetapi aku awal awal lagi sudah tersungkur di halaman pintu hati kau yang terusan berkunci. Awal  awal lagi sudah aku ditewaskan dengan sepimu tanpa jawapan pasti.

Moga moga denga surat ini ( yang aku tahu kau tidak akan membacanya ), paling kurang aku mengaku aku yang bersalah dalam luka yang yang menghiris hati suci kau. Sekali lagi maafkan aku kau !

No comments:

Post a Comment