Saturday 2 January 2016

Surat untuk Dia.

( Dalam ruangan waktu yang moga moga mengizinkan aku menulis Surat ini. )

Apa khabar kau? Hampir setahun cinta kau aku berkenalan. Walau kau mungkin sudah dimiliki, namun kau tetap menjadi cerita yang tak akan aku padam.

Kau mengajarkan aku bahawa sentiasalah memberi perhatian pada kata kata agar ia selalu menjadi harapan pada orang orang.

Ajar mu itu aku amalkan dalam setiap bahagia dan rencah kisahku. Aku setia memberi harapan walau satu ketika aku tidak lagi punya harapan.

Ahh kau dan harapan itu bagiku, sahabat karib. Adanya kau, aku rasakan harapan itu selalu menungguku mendakapnya. 

Walau langit telah merah dan bianglala telah pun rebah ( persis katanya Hamka ), kau menyedarkanku hidupku masih milikku, artinya perjalanan hidupku masih jauh. Dan jauh itu membawa konotasi, hidupku masih ada, masih perlu ditempuh dan masih padanya harapan harapan.

Wahai kau, yang aku harap sudah mengecap bahagia. Alangkah sedih tak terkata kalau kau masih lagi berduka. ( aduh mintak simpang ). Aku jadi teringat, saat aku membalas puisi tafakkur alammu, ahh aku sedang tersenyum sekarang, bagaimanalah aku tergerak hati untuk membalasnya. Laju pula kata kata balas itu ku coret.

Kau tahu, aku tika itu ibarat sang pemimpi yang terbang, jauh, tinggi. Yang Meninggalkan luka yang dalam, parut yang ku fikir kekal, renyah yang sangat membeban. Aku terbang, tinggi dan bahagia sekali. 

Aku sebenarnya tidak reti bereulogi, aku tidak pandai bermain kata, tapi sungguh kehadiran kau banyak menyeronokkanku bermain falsafah falsafah. Seperti pernah aku bilang, falsafah adalah Suatu perasaan yang ingin kau selam mencarinya, walau kau tidak menemui, namun kau tetap bersungguhan mencari. Ini pertama.

Kedua, kehadiran kau membuatkan aku berani untuk menzahirkan apa itu Cinta. Kerana cinta yang aku lihat pada kau, begitu luas dan lapang ertinya.

Cinta yang aku kontemplasi dari kau, adalah cinta yang membawa berjuta juta definisi. Setiap orang berhak memberi definisi apa itu Cinta mengikut kata hati mereka. Kau seolah menjernihkan tohmahan, keruhan, kutukan orang orang yang terlanjur menghukum apa itu Cinta.

Cinta yang membawa ku sehingga kini, cinta juga yang memberanikan aku untuk menempuh segala yang menakutkan. Cinta juga yang bersungguhan membangunkan aku ketika aku tersadung berdarah. Dan juga, cinta lah yang memberi aku walau secebis harapan.

Cinta juga mengajarkan aku apa itu perpisahan. Cinta tidak semestinya bersatu, ada satu saat cinta harus berpisah agar orang lain yang akan bersatu, bukan aku. Dan bila perpisahan itu terjadi, ia bukan bermakna cinta aku itu gagal.

Buktinya kita, ya aku dan kau. Kau dan aku tidak akan bersatu kerana aku harus terima, bahawasanya hakikat kewujudan kau bukanlah untukku. Walau pun cinta aku kepada kau adalah bukti kewujudanku.

Kau,

Semalam kau aku ketemu, dan kau pasti tidak perasan. Aku lihat kau begitu kuat dan ceria berkongsi cerita cerita bahagia kepada ramai orang, Ahh cemburunya aku. Kuat sekali hatimu. Kau buat aku bungkam dengan hatimu yang pasak.

Tapi aku tahu, kekuatan dan kepasakan hatimu, bermula dari pengakhiran yang kau mulainya kembali.

Aku pernah kecewa dengan kata kata Darwisy, dia kata ' aku tak mahu dari sebuah cinta itu melainkan permulaanya sahaja, kerana pengakhirannya mesti menyakitkan. '

Kau ibarat menyempurnakan luahan Darwisy itu, seolah olah kau ingin membakar semangat aku, bahawa pengakhiran itu mesti dimulai kembali, dan jika ia berakhir juga dengan kesakitan, maka aku harus bermula sekali lagi. Hebatnya hikmah kau.

Dan lagi yang bisa aku teladani dari Cinta kau, ' manusia adalah sebab manusia lain bahagia, ' ( benar kata Baharuddin Bekri ini ). Dengan kata lain yang lebih mudah difahami, iaitu orang panggil berkongsi.

Hidup ini tidak kita seorang, kadang kita hanya aktor dalam mimpi, orang lain yang mengecapinya dalam realiti. Aku adalah aktor dalam mimpi itu yang ingin memiliki kau, tapi orang lain yang mengecapi cinta kau di alam realiti. Ahh cantik sungguh aturan takdir.

Maka kau, teruslah berkongsi kisah kisah cinta yang menarik kepada orang ramai, kerana pasti dalan ramai ramai itu ada yang sedang bersedih dalam bercinta.

Aku ingin berundur dulu, sebelum itu aku dapat tahu hati kau sudah diketuk kan? Namun jangan risau, kau sudah aku rela dimiliki orang lain. Bukalah hatimu untuk dia, jangan biarkan dia terus terusan mengetuk hatimu. 

Dia juga insan biasa yang ingin mendamba cinta, apatah lagi sebuah dan berbuah buah Cinta dari kau. Mana tahu dia akan menjumpai lebih hebat teladan dari cinta kau dari aku. Dan mana tahu, Cinta kau lebih agung dan diiktiraf bila kau bersama dia. Maka jangan hampakan dia.

Aku rasa cukup sampai di sini. Bila nanti kau baca ( hmm, bila itu memerlukan waktu pastinya. ), aku harap tiadalah walau pun sebuah huruf yang menyinggung perasaan hati kau. Moga moga.

Selamat kau, dan terima kasih untuk segalanya.





Kepada,
Dia

Daripada,
Aku.




No comments:

Post a Comment