Saturday 9 January 2016

Kata kata maaf

Dan kata kata maaf aku susun, dengan harapan kau berkenan mengampun.

Wahai kau yang sudah jauh di negara asal, negara tanah tumpahnya darah kita. Tanah yang mengajar kita membina harapan moga moga tercapai segala impian. Tanah yang memberanikan kita mengharungi segala yang mendatang. Juga tanah itulah kerananya, kita berkenalan.


Wahai kau yang terlanjur aku sakitkan hatimu. Jika ada kata yang lebih baik dari kata maaf untuk aku menunduk, menyembam kepadamu, jika ada segala cara untuk aku memujuk takdir mengulangi masa dahulu, pasti itu yang aku dahului.


Kau, kesilapan pasti sahaja berlaku. Dan aku lelaki yang selalu gagal, kesilapan dan aku sudah ibarat sahabat karib. Sudah berkali kali aku mengutuk diri aku yang selalu sahaja berteman dengan kegagalan. Wahai kau, aku lelaki yang gagal yang rela aku tundukkan hati jantanku, untuk kau terima dengan peluang yang kedua.


Kau yang sudah jauh, tiadakah peluang kedua untuk aku? Tiadakah walau secebis kasihan? Wahai kau jikalah kau mengerti keterlanjuran aku itu sebenarnya aku merisaukanmu. Aku risau kau akan terluka. Kau sangat penting dalam hidup aku. Tiada maaf bagiku jika kau terluka ketika mana aku dalam gembira. Mengertikah kau?


Kau, kalaupun tiada peluang kedua untuk diriku, berilah peluang kedua itu untuk dirimu. Manusia itu pasti akan terduduk kekalahan. Manusia itu tidak dapat tidak pasti mahu mengalah kekecewaan. Namun sedarkah kau, kekalahan yang kau rasai itu membawa hikmah yang besar untukku.


Kau mengajarkan aku berjalan itu bukan sahaja untuk melepasi cabaran yang menghalang. Berjalan itu sebenarnya adalah sesuatu yang perlu kita hargai dan kita raikannya untuk diri kita. Hikmahmu menyedarkan aku bahawa teruslah berjalan, maka kita akan temui lebih banyak kebahagiaan. Tahukah kau itu?


Wahai kau yang tak terluah namamu aku ucap, kerana aku begitu sedih. Lupakah kau saat saat, detik detik kita terenyum ketika pertama kali kita berjumpa. Dan pertemuan kita selepas itu semuanya kita hiasi dengan senyuman. Lupakah kau tika kau terpingkal pingkal mendengar lelucon, celoteh aku. Lupakah kau saat kita melangkah seiring dan sejalan bersama sama, kau rapat di tepi aku seperti aku ini pelindungmu. Aduh mana mungkin aku lupa itu, dan moga moga kau juga.


Kau yang terlalu jauh, aku hairan bagaimana aku bukan orang pertama yang tahu kau telah pun menjauh dari aku, dari semua. Kau melarikan dirimu dari semua orang benar amat menyedihkan aku, tetapi aku bukanlah yang pertama mengetahuinya yang menambah perih ini. Aku hairan.


Aku bukan nak isytihar aku lah yang terpenting bagimu. Dan telah terbukti aku ini bukanlah siapa siapa. Kalau tiada yang mengkhabarkan pemergianmu, pasti aku tidak tahu. Sedarlah aku sekarang, aku ini tidak penting bagi sesiapa pun.


Atau...

Mungkin aku ini bodoh, kau memerlukan waktu untuk menceritakan segalanya. Aduh aku ini sama seperti dahulu, gopoh.
Aku bertambah yakin ini apabila kau mengatakan dalam utusan surat pendek, ' aku fikir mahu khabarkan padamu sejurus selepas kau selesai ujianmu '. Kenapa lah aku bodoh tidak menyedari itu dahulu. Ahh bodohnyaa.


Dan sekarang lihatlah aku, utusan surat aku kepadamu tidak kau sudi membalasnya lagi. Maafkan aku kau. Aku telah sakitkan hati perempuan kau yang teramat suci. Maafkan aku !


Andai kata kata maaf itu bisa aku hamparkan di atas bumi yang luas ini, benarlah aku tak mampu. Tapi kudrat aku hanya mampu menulis di atas lampiran kertas yang aku sendiri tahu, kau tidak akan membacanya.


Biarlah, sudah aku titip pesan buat angin, agar usah biarkan kau sendiri keseorangan. Agar kau tidak lagi sepi bernyanyi sunyi. Dan maka ketika kau sedang mendakap angin itu, moga moga kau sudah mengampuni aku.


Maafkan aku kau !

No comments:

Post a Comment